PASUKAN penyelamat mengangkat mayat yang ditemukan terapung di Sungai Perak. FOTO ihsan bomba
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat yang ditemukan terapung di Sungai Perak. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjun ke Sungai Perak di Jambatan Batu 5, di sini, semalam ditemukan terapung jam 5.25 petang, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, mayat lelaki berusia 42 tahun itu dijumpai pada jarak 50 meter dari lokasi dia dipercayai terjun.

Menurutnya, sebelum itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua tertumpu pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat dijumpai terapung oleh anggota BBP Teluk Intan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.

"Mayat kemudiannya dibawa naik ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, operasi SAR turut membabitkan polis, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan, Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hilir Perak.

Semalam Harian Metro melaporkan, kehilangan mangsa disedari orang awam apabila kereta dipandunya ditinggalkan di jambatan dalam keadaan enjin dan penghawa dingin masih hidup.

Berita berkaitan

Lelaki hilang dipercayai terjun ke Sungai Perak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 8:46 PM