Anggota bomba dari BBP Alor Setar membantu wanita selepas berjaya memujuknya dari terjun di Jambatan Tok Pasai disebabkan mengalami tekanan perasaan. FOTO  IHSAN BOMBA
Anggota bomba dari BBP Alor Setar membantu wanita selepas berjaya memujuknya dari terjun di Jambatan Tok Pasai disebabkan mengalami tekanan perasaan. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


WANITA yang dipercayai mengalami tekanan perasaan nekad untuk terjun ke dalam laut dari Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah, hari ini.

Bagaimanapun, tindakannya berjaya dihalang anggota bomba yang cuba memujuknya hampir 10 minit.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, wanita berusia 29 tahun itu dipercayai kemurungan dan cuba untuk terjun di atas jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter dari laut dalam separa sedar sambil menangis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.40 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria tiba di lokasi pada 3.54 petang.

"Setibanya di lokasi didapati wanita itu berada di tengah-tengah jambatan dan cuba untuk terjun.

"Berikutan itu, anggota kami mencuba pelbagai cara untuk memujuknya supaya lembut hati sebelum membatalkan cubaannya untuk terjun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut sambil diiringi polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 6:02 PM