PASUKAN keselamatan membantu menyelamatkan penduduk yang terjejas akibat banjir di Muar. FOTO Ihsan APM
PASUKAN keselamatan membantu menyelamatkan penduduk yang terjejas akibat banjir di Muar. FOTO Ihsan APM
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 227 penduduk di Muar dan Tangkak dipindahkan berikutan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan kawasan rendah dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, sehingga 4 petang tadi, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 47 keluarga.

Katanya, dua PPS dibuka di Muar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani dan SMK Dato Sri Amar Diraja manakala sebuah di Tangkak membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bunga.

"SMK Bandar Maharani menempatkan seramai 128 mangsa daripada 26 keluarga yang terjejas dari kawasan Kampung Sabak Awor dan Lorong Dato Samsu dan Jalan Ismail.

"SMK Dato Sri Amar Diraja pula menempatkan 47 mangsa daripada 11 keluarga dari kawasan Kampung Kelantan dan Kampung Dato Sri Amar Diraja.

"Manakala SK Parit Bunga di Tangkak menempatkan seramai 52 mangsa daripada 10 keluarga membabitkan kawasan Kampung Parit Bunga, Kampung Tanjung Agas dan Kampung Tanjung Gading Timur, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih memantau situasi semasa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dibimbangi meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia juga mengeluarkan amaran ribut petir di seluruh negeri sehingga jam 5 petang ini sekali gus langkah berjaga-jaga akan diambil di kawasan rendah berisiko banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 5:28 PM