Anggota APM menjalankan pemantauan dan pembersihan rumah mangsa yang terjejas di Kampung Parit Raja dan Kampung Parit Amal, Muar. FOTO IHSAN APM JOHOR
Anggota APM menjalankan pemantauan dan pembersihan rumah mangsa yang terjejas di Kampung Parit Raja dan Kampung Parit Amal, Muar. FOTO IHSAN APM JOHOR
Oleh Nurul Amanina Suhaini


JUMLAH mangsa banjir di Johor terus menurun kepada 136 orang dengan dua daerah masih terjejas, setakat jam 4 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, keadaan cuaca baik di Muar dan Tangkak menyebabkan air di kawasan terjejas mula surut.

Katanya, pusat pemindahan sementara (PPS) Muar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahkota menempatkan 21 mangsa daripada tujuh keluarga, berbanding 23 mangsa daripada lapan keluarga, pada jam 12 tengah hari tadi.

"Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Keroma Darat, Muar pula menempatkan 80 mangsa daripada 18 keluarga, berbanding 89 mangsa daripada 20 keluarga, pada waktu yang sama.

"Di PPS Tangkak pula membabitkan SK Tanjung Gading 5 yang kini menempatkan 15 mangsa daripada dua keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengawal selia pengurusan pusat pemindahan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus membuat pemantauan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan mangsa dan petugas berada dalam keadaan baik serta pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dapat dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 4:31 PM