GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Dua pekerja swasta yang berhasrat membuat pinjaman bagi dijadikan modal perniagaan tidak kesampaian apabila ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud dengan nilai kerugian keseluruhan membabitkan RM29,040.

Mangsa wanita berusia 29 tahun dan lelaki berusia 57 tahun itu masing-masing mahu membuat pinjaman antara RM20,000 hingga RM60,000 selepas tertarik melihat iklan di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berasal dari Telok Ayer Tawar dan Butterworth di sini, kemudian meninggalkan maklumat peribadi selepas percaya kononnya iklan itu dari sebuah bank yang menawarkan pinjaman wang.

"Kedua-dua mangsa dihubungi ejen syarikat terbabit dan mereka diminta membayar sejumlah wang sebagai upah proses dan mengaktifkan akaun.

"Mangsa menuruti kata-kata ejen itu apabila membuat bayaran seperti diminta ke dalam tiga bank berasingan iaitu masing-masing berjumlah RM15,400 dan RM13,640," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Difahamkan, kedua-dua mangsa berhasrat membuat pinjaman wang untuk dijadikan modal perniagaan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa sedar ditipu selepas ejen terbabit berterusan meminta wang daripada mereka.

"Mereka membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

"Polis sedang mengenalpasti kesemua akaun bank yang digunakan untuk mengesan suspek," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 2:17 PM