ANUAR melawat Tabika Taman Putera Puteri pada hari pertama tabika dan taska beroperasi. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANUAR melawat Tabika Taman Putera Puteri pada hari pertama tabika dan taska beroperasi. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


PEMAJU Masyarakat (PM) yang bertugas di 28 taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan 921 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Pahang perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika bertugas.

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pahang, Anuar Mat Zin berkata, pihaknya sudah memberi taklimat berkaitan SOP kepada semua PM sebagai persediaan mereka menjalankan tugas pasca Covid-19.

Menurutnya, pematuhan SOP yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu diikuti sepanjang operasi taska dan tabika bagi menjamin keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terbabit.

Katanya, terdapat seramai 570 kanak-kanak ditempatkan di 28 taska dan 17,244 lagi belajar di 921 tabika di Pahang sebelum ditutup apabila wabak Covid-19 melanda negara.

"Kita sudah melakukan sanitasi di semua taska dan tabika di negeri ini selepas mendapat arahan kerajaan serta KKM bagi menjamin tahap keselamatan dan kesihatan kanak-kanak.

"Justeru, saya mengingatkan ibu bapa supaya tidak bimbang untuk menghantar anak mereka semula ke taska dan tabika," katanya selepas memantau hari pertama operasi Tabika Taman Putera Puteri, Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, hari ini.

Menurutnya, PM perlu mematuhi SOP membabitkan kebersihan, penggunaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman selain tahap kesihatan kanak-kanak juga perlu pantau sepanjang hari.

"Perasaan curiga dan kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke taska dan tabika pasti ada, namun dengan pematuhan SOP yang ketat diharapkan kejadian tidak diingini dapat dielakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:41 PM