SUASANA solat Jumaat di Masjid Negara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19. FOTO ASYRAF HAMZAH

SUASANA solat Jumaat di Masjid Negara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19. FOTO ASYRAF HAMZAH

Ruwaida Md Zain


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau di Selangor dibuka untuk solat Jumaat berkuat kuasa Jumaat ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor juga berkenan semua masjid dan surau dibuka untuk solat fardu lima waktu secara berjemaah.

Bagaimanapun, ia mesti mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP).

"Sultan Selangor berkenan supaya semua masjid dan surau dibuka untuk mendirikan solat Jumaat dengan mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Mohamad Munir berkata, bilangan jemaah pada satu-satu masa perlu mengikut jumlah ditetapkan.

Katanya, jemaah solat Jumaat dan solat fardu ditetapkan pada 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

"Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid lain ditetapkan maksimum pada 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan," katanya.

Beliau berkata, jemaah di surau bagi mendirikan solat Jumaat dan solat fardu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Dalam pada itu katanya, Sultan Sharafuddin turut bertitah agar ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya dilaksanakan di masjid sahaja.

"Bagi surau-surau yang merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di masjid berdekatan," katanya.

Semua orang juga perlu SOP termasuk berwuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka ketika hadir di masjid dan surau dan mengamalkan penjarakan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 10:39 AM