Sri Ayu Kartika Amri

SEBANYAK 56 tapak binaan didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, apabila Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 73 tapak binaan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan yang diadakan itu juga mendapati dua tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala 15 tapak binaan lagi tidak beroperasi.

Katanya, jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,173 tapak binaan dan 419 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

Foto hiasan
Foto hiasan

"Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk ditutup kerana tidak mematuhi SOP," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, melalui Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuat 67,004 pemeriksaan semalam dan menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Daripada jumlah ini 40 individu sudah direman dan lapan lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut (10) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (38)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 3:04 PM