Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat dimaklumkan 781 tapak pembinaan di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, arahan dikeluarkan selepas kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melaksana pemeriksaan pematuhan di 7,704 tapak binaan setakat 18 Oktober lalu.

"Daripada jumlah itu, 6,923 tapak pembinaan mematuhi SOP Covid-19 dan dibenarkan beroperasi, manakala 781 tidak dibenarkan kerana ingkar SOP.

"Salah satu punca syarikat tidak mematuhi SOP disebabkan kegagalan mereka untuk memahami SOP berkenaan. Justeru CIDB mengambil pendekatan memberikan perincian lanjut.

GAMBAR hiasan tapak pembinaan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan tapak pembinaan. FOTO Arkib NSTP.

"Namun syarikat yang didapati dengan sengaja melanggar SOP sudah tentu diambil tindakan tegas seperti memberi amaran dan notis pemberhentian," katanya ketika sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang bertanya jumlah terkini tapak pembinaan yang dibenarkan beroperasi dan tidak patuh SOP di seluruh negara, terutama Sarawak.

Mengulas lanjut, Eddin berkata, di Sarawak hanya empat tapak pembinaan dilarang beroperasi, manakala 739 tapak diizinkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 11:55 AM