ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa kedai runcit dan serbaneka di sekitar Petaling Jaya, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP Selangor.
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa kedai runcit dan serbaneka di sekitar Petaling Jaya, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP Selangor.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 14 kedai runcit dan kedai serbaneka dikenakan kompaun selepas didapati melakukan kesalahan membabitkan tanda harga serta alat timbang, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor. Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sebanyak 25 premis di sekitar Aman Suria Damansara, Prima Damansara, Damansara Damai, SS2 dan PJ Old Town, Petaling Jaya, diperiksa sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor pada 11 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati 14 premis berkenaan melakukan 12 kesalahan tiada tanda harga dan dua kesalahan membabitkan alat timbangan tamat penentusahan.

"Semua peniaga terdiri daripada tempatan serta warga asing dikenakan kompaun berjumlah RM2,600," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, tindakan kompaun diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan golongan peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan termasuk mengemas kini penandaan harga bagi barangan dijual.

"Selain itu, peniaga dinasihatkan supaya memastikan alat timbangan digunakan bagi tujuan perdagangan ditentusahkan dan masih dalam tempoh dibenarkan.

"Jangan ambil kesempatan pada ketika masyarakat berada dalam situasi getir tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 4:48 PM