Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Kaut untung mudah hasil kegiatan penipuan timbang sawit serta menindas penjual sawit terutama pekebun kecil.

Itu yang berlaku apabila sebuah pusat pengumpulan dan pembelian sawit di Kampung Sungai Yu, di sini, dikesan memanipulasi alat timbang dengan mengurangkan sukatan timbangan sebanyak 250 kilogram.

Difahamkan, pusat terbabit meletakkan sukatan timbangan lebih rendah ke atas lori mengangkut sawit berbanding jumlah sebenar.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyerbu pusat berkenaan menerusi Ops Timbang Sawit, 10 pagi hari ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi dibuat susulan risikan dan intipan pihaknya berhubung kewujudan isu penipuan timbangan sawit.

"Siasatan awal mendapati pusat terbabit memanipulasi alat timbang dengan mengurangkan lima peratus berat sawit iaitu sehingga 250 kilogram.

"Susulan itu, sistem sukatan secara elektronik itu sekali gus menyebabkan bayaran kepada pekebun kecil lebih rendah berbanding jumlah sebenar," katanya pada sidang media selepas operasi itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan MPOB, Iptisam Abd Wahab.

Muhamad Zikril Azan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20A (1) (e) Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu membuat perubahan kepada alat timbang atau sukat sehingga menyebabkan ia menjadi tidak tepat.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM40,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita juga merampas peralatan yang digunakan syarikat itu bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan ke atas tiga syarikat lain yang melakukan kesalahan sama sejak pelaksanaan operasi bersepadu yang bermula 5 April lalu.

"Serbuan di sekitar Kuala Langat membabitkan nilai rampasan berjumlah RM95,000. Malah, MPOB turut mengambil tindakan ke atas enam kes untuk tindakan lanjut," katanya.

Berikutan kes itu, beliau berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua peniaga yang membeli sawit dan memiliki alat timbang agar tidak mengambil kesempatan ke atas pekebun berikutan harga yang meningkat ketika ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan mengenai isu timbang sawit boleh menyalurkannya menerusi portal [email protected] atau menghubungi talian 1800-886-800.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 5:41 PM
Muhamad Zikril (baju putih) memeriksa penimbang buah sawit ketika operasi Timbang Sawit oleh KPDNHEP Negeri Selangor di Gudang Timbang Buah Sawit, Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Muhamad Zikril (baju putih) memeriksa penimbang buah sawit ketika operasi Timbang Sawit oleh KPDNHEP Negeri Selangor di Gudang Timbang Buah Sawit, Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL