FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zaid Salim


SERAMAI 19,364 pelajar tingkatan lima dan enam di 151 sekolah di Terengganu akan memulakan sesi pembelajaran selepas tertangguh lebih tiga bulan akibat wabak pandemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Salim Ab Ghani berkata, daripada jumlah itu, seramai 16,864 membabitkan pelajar tingkatan lima dan 2,500 pelajar tingkatan enam.

Beliau berkata, sebanyak 116 sekolah adalah menengah harian, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) (15), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) (enam), Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Agama (enam), Kolej Vokasional (lima) dan masing-masing sebuah bagi Kolej Tingkatan Enam, Sekolah Menengah (SM) Teknik dan SM Sukan.

"Semua pengurusan sekolah dan kolej vokasional sudah membuat persiapan rapi seperti penjarakan meja dan kerusi pelajar di dalam kelas termasuk operasi nyah kuman dilakukan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

"Semua prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan untuk mencegah penularan Covid-19 akan dilaksanakan.

"Kita hanya membuat pindaan lokasi pemeriksaan suhu badan pelajar sahaja iaitu melakukannya dalam kawasan sekolah kerana lokasi kebanyakan sekolah menengah di Terengganu berada berhampiran jalan utama dan atas dasar keselamatan pelajar, proses mengambil suhu badan terpaksa dilakukan dalam kawasan sekolah sebaik pelajar memasuki kawasan sekolah ," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berpuas hati dengan tahap persediaan dilakukan pengurusan sekolah bagi memastikan kakitangan dan pelajar tidak dijangkiti wabak pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Wakaf Tembesu (KVWT), Mohamad Zabidi Abdullah berkata, pihaknya akan memastikan warga kolej berkenaan termasuk 328 pelajar yang akan kembali ke sekolah esok mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi termasuk memasang risalah dan peringatan berkaitan bahaya wabak koronavirus di sekitar kawasan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:07 PM