GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat menahan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana kesalahan meminta dan menerima wang rasuah, petang tadi.

SPRM Johor dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan dijalankan pihaknya mendapati suspek meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM130,000 daripada beberapa kontraktor sebagai balasan kerana mendapatkan kerja bekalan di JAINJ.

"Wanita berusia 37 tahun itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam. Dia ditahan 3 petang tadi di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak lebih 20 tahun," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 6:55 PM