MAS Ermieyati. FOTO Saifullizan Tamadi
MAS Ermieyati. FOTO Saifullizan Tamadi
HM Digital

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mempergiatkan usaha menambah kedatangan pelancong menerusi beberapa acara dengan sasaran keseluruhan pelancong domestik pada 2018 seramai 72.6 juta membabitkan jangkaan pendapatan sebanyak RM51.2 bilion.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antara pendekatan diambil menambah penyertaan dalam pameran pelancongan tempatan yang berskala besar serta mempergiatkan promosi pelancongan dan kerjasama pintar melalui agensi kerajaan bagi meningkatkan jumlah pelancong dalam negara.

Katanya, pameran membabitkan kakitangan kerajaan, awam dan antarabangsa dipergiatkan supaya sebaran maklumat berkaitan pelancongan secara terus, sekali gus mencetuskan minat rakyat tempatan untuk melancong ke destinasi menarik di Malaysia.

“Contohnya seperti MATTA Fair, MITA Travel Fair dan Cuti-Cuti Malaysia Dekat Je Travel Fair. Selain itu, kita juga mahu meningkatkan promosi pelancongan dengan menggalakkan badan korporat membuat lawatan insentif atau seminar dalam negara dan bukannya dianjurkan ke luar negara seperti sebelum ini.

“Selain itu, mempergiatkan promosi pelancongan membabitkan segmen khas dan unik seperti pelancongan agro dan pelancongan eko yang kian mendapat perhatian ramai,” katanya kepada Harian Metro.

Mas Ermieyati berkata, menerusi pembentangan Bajet 2018, pihaknya juga mahu mempergiatkan jaringan kerjasama pintar melalui NBOS dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak korporat dan swasta dalam aktiviti promosi pelancongan.

Kata beliau, pihaknya juga akan meningkatkan promosi dan aktiviti pelancongan sempadan membabitkan kemasukan pelancong asing (melalui sempadan negara) supaya ia dapat menukar status pelawat harian kepada pelancong.

“Kementerian menambah baik dan mengembangkan fungsi Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) membolehkan ia bertindak sebagai pusat sehenti dan membabitkan aktiviti komersil seperti penjualan pakej pelancongan, tempahan penginapan, penjualan tiket konsert, hiburan serta kesenian,” katanya.

Menurut Mas Ermieyati lagi, kementeriannya juga terus mempergiat kempen promosi pelancongan domestik pada 2018 melalui Kempen Cuti-cuti Malaysia Dekat Je yang pernah diperkenalkan pada 2015 sebagai usaha untuk merancakkan lagi industri pelancongan tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 10:02 AM