TIGA basikal lajak yang disita.
TIGA basikal lajak yang disita.
HM Digital

Segamat: Tindakan tiga remaja lelaki berusia antara 13 dan 15 tahun menunggang basikal lajak mengundang padah apabila ditahan dalam Op Lumba Haram di sekitar Segamat, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, operasi bermula jam 2 pagi berkenaan dilakukan di lokasi panas sekitar bandar ini termasuk di Dataran Segamat, Jalan Genuang, pintu gerbang Jalan Genuang, Segamat Baru dan Jalan Muar.

Menurutnya, dalam operasi itu tiga remaja berkenaan didapati menunggang basikal lajak tanpa brek dan tidak dilengkapi loceng.

“Polis turut memanggil ibu bapa remaja itu untuk memberi nasihat supaya mengawasi pergerakan anak masing-masing terutama pada awal pagi. Ia bukan saja bagi memastikan keselamatan mereka, tetapi membabitkan keselamatan pengguna jalan lain.

“Bagaimanapun, semua remaja berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubah suai struktur kenderaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut memeriksa sebanyak 51 motosikal dan mengesan 39 kesalahan dilakukan penunggang berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Katanya, antara kesalahan itu ialah tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu B2 dan tiada perlindungan insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 4:39 AM