S Sathaletchmy  menunjukkan gambar suaminya yang meninggal dunia kerana tercekik ketika makan dodol. FOTOMohd Jamah Nasri
S Sathaletchmy menunjukkan gambar suaminya yang meninggal dunia kerana tercekik ketika makan dodol. FOTOMohd Jamah Nasri

MELAKA: Warga emas K Sanmugam, 67, meninggal dunia akibat tercekik dodol yang dimakan di rumahnya di Taman Merbok, Bukit Baru di sini, Jumaat lalu.

Kejadian itu disedari isteri mangsa, S Santhaletchmy, 66, selepas mendapati suaminya, tercungap-cungap ketika mereka sekeluarga sedang menjamu selera pada kira-kira 10 pagi hari tersebut.

Santhaletchmy berkata, dia kemudian mengangkat suaminya dan beberapa kali cuba menepuk belakangnya selain cuba mengeluarkan dodol tersebut dengan menggunakan jari.

"Dodol itu saya dah beli lebih seminggu dan memotongnya kecil-kecil. Pada mulanya saya nasihat (kepada suami) jangan makan dodol itu tetapi dia tidak mengendahkannya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kata Santhaletchmy, suaminya kemudian pengsan sebelum dia dibawa ke Hospital Pantai di sini untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun pihak hospital memaklumkan suaminya berada dalam keadaan serius sebelum diberitahu Sanmugam meninggal dunia beberapa minit kemudian.

Santhaletchmy berkata, Sanmugam, bekas pekerja SWM Enviroment Sdn Bhd serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, pernah diserang strok 15 tahun lalu dan pergerakan suaminya terbatas sejak kejadian itu namun dia mampu berjalan sendiri perlahan-lahan beberapa tahun kemudian. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 12:31 AM