KAKITANGAN Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) dan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang bersama Jabatan Perikanan Negeri Perak mengambil sampel ikan yang mati di perairan Perak dan Pulau Pinang. FOTO ihsan Jabatan Perikanan Malaysia
KAKITANGAN Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) dan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang bersama Jabatan Perikanan Negeri Perak mengambil sampel ikan yang mati di perairan Perak dan Pulau Pinang. FOTO ihsan Jabatan Perikanan Malaysia
Zuhainy Zulkiffli


KEJADIAN ikan mati dan terapung yang didakwa berlaku di perairan Perak dan Pulau Pinang menerusi beberapa video tular adalah ikan yang hanyut dari sangkar disebabkan ledakan alga (algae bloom).

Faktor itu menyebabkan ikan sukar bernafas dan berenang di permukaan air kemudian menjadi tidak stabil, lalu mati.

Jabatan Perikanan Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kematian ikan secara berperingkat Kuala Kurau, Kuala Gula dan Tanjung Piandang, Perak.

Siasatan kemudian dilakukan pada 29 Mei lalu oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) dan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang bersama Jabatan Perikanan Negeri Perak.

Siasatan awal menemui kehadiran spesies plankton atau dikenali sebagai ledakan alga Cochlodinum yang tinggi di perairan berkenaan.

"Ledakan alga Cochlodinum ini adalah kejadian yang kerap berlaku di perairan pantai di seluruh dunia pada setiap tahun.

"Cochlodinium adalah spesies plankton yang toksik terhadap banyak spesies ikan dan kerang-kerangan, namun ia tidak memberi kesan kepada manusia," katanya dalam kenyataan di Facebook, kelmarin.

Dalam perkembangan lanjut, pihak jabatan juga mendapati ikan yang mati itu adalah spesies ikan merah dan ikan nyok-nyok, tetapi tiada kes kematian dilaporkan bagi ikan laut liar kerana ia dapat melarikan diri daripada perairan yang mengalami ledakan plankton terbabit.

Malah statistik hasil tangkapan nelayan juga kekal tinggi dan ikan di laut masih dalam keadaan baik serta terkawal.

"Jabatan Perikanan Malaysia menasihati penternak ikan di kawasan itu supaya memindahkan ikan ternakan dari kawasan terbabit ke kawasan yang tiada ledakan serta bersedia bagi menuai ikan jika ia kelihatan tidak normal.

"Penternak juga dinasihati supaya tidak membuang bangkai ikan ke laut kerana dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan nutrien serta percambahan plankton dan harus mengikut kaedah pelupusan ikan seperti yang sudah ditetapkan," katanya lagi.

Susulan daripada kes di Perak dan kemudian menular ke Pulau Pinang, pihak jabatan menjangka kejadian terbabit mungkin boleh berlaku di perairan negeri Kedah.

Sehubungan itu, penternak di Kedah juga dinasihati supaya berjaga-jaga serta melaporkan kepada Pejabat Perikanan Negeri sekiranya ada perubahan dalam warna air laut atau kelakuan tidak normal pada ikan ternakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 1:26 PM