FOTO ihsan Perikanan
FOTO ihsan Perikanan
BERNAMA

KEJADIAN ikan mati dan terapung di perairan Pulau Pinang dan Perak, baru-baru ini disebabkan kehadiran spesies plankton atau dikenali sebagai ledakan alga (Cochlodinium sp) yang tinggi.

Jabatan Perikanan Malaysia dalam kenyataan, berkata Cochlodinium adalah spesies plankton toksik terhadap banyak spesies ikan dan kerang-kerangan, namun tidak memberi kesan kepada manusia.

Menurutnya, hasil ikan yang diternak di kawasan itu adalah selamat untuk dimakan.

"Tiada aduan membabitkan ikan laut liar dibuat kepada Jabatan Perikanan Negeri, setakat ini. Ini berikutan ikan liar lebih mudah melarikan diri dari kawasan tercemar dengan ledakan alga Cochlodinium," katanya.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung, Pulau Pinang, ledakan alga itu adalah kejadian yang kerap berlaku di perairan pantai seluruh dunia pada setiap tahun.

Katanya, disebabkan ledakan alga berkenaan, ikan-ikan terutama yang diternak di dalam sangkar mati akibat kekurangan oksigen ekoran insang ikan tersumbat, kerengsaan dan kerosakan pada tisu insang ikan.

Ia juga memaklumkan ledakan alga itu dijangka boleh melarat sehingga ke perairan negeri Kedah dan memberi kesan yang sama.

Susulan kejadian itu, Jabatan Perikanan Malaysia menyarankan supaya penternak tidak membuang bangkai ikan tercemar ke laut atau kawasan sangkar, dan ikan-ikan yang mati perlu dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Penternak juga dinasihat untuk memindahkan ikan ternakan yang terkena ledakan alga ke kawasan/petak sangkar yang tiada ledakan serta bersedia menuai ikan jika kelihatan ikan kesesakan nafas bagi mengelakkan lebih banyak kerugian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 3:30 PM