FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menasihatkan orang ramai tidak makan kerang-kerangan susulan fenomena air pasang merah (red tide bloom) di perairan Teluk Bahang sehingga Sungai Pinang di Balik Pulau, Pulau Pinang sejak minggu lalu.

Ketua Cawangan Standard Perkhidmatan Makmal Bahagian Biosekuriti Perikanan Jabatan Perikanan, Roslan Abu Hasan berkata, bagaimanapun ikan di perairan yang dilanda fenomena ledakan alga spesis Noctiluca Scintillans itu selamat dimakan.

Katanya, tidak seperti ikan yang bahagian insangnya lazim tidak dimakan manusia, kerang-kerangan adalah sebaliknya apabila keseluruhan bahagiannya dimakan.

"Kematian ikan di kawasan itu adalah disebabkan oleh persaingan merebut oksigen, mengakibatkan ikan sukar bernafas lalu mati namun dari segi racun (toksin) ia tiada justeru ikan selamat untuk dimakan," katanya kepada pemberita di program Kesedaran Pematuhan Pensijilan MyGAP dan Taklimat Penggunaan Sistem eKanMas peringkat negeri di sini, hari ini.

Program dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan turut dihadiri Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap.

Terdahulu, media melaporkan keputusan awal analisis Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, Pulau Pinang berkaitan fenomena air merah di perairan Teluk Bahang mendapati alga Noctiluca Scintillans bukan toksin serta tidak berbahaya kepada manusia.

Fenomena itu, turut dilapor menyebabkan kerugian antara RM200,000 hingga RM300,000 susulan kematian 12 tan ternakan ikan sangkar dalam lima hari sejak insiden itu berlaku Sabtu minggu lalu, namun fenomena itu dilapor kian semakin berkurangan melanda perairan itu menerusi pemantauan yang dijalankan.

Berdasarkan rekod, Noctiluca Scintillans pernah menyebabkan ledakan sehingga air laut menjadi merah jambu dan ikan dalam sangkar mati di perairan Kuala Gula, Perak pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 2:05 PM