RUDZUAN (kanan) memberi peringatan kepada nelayan di Sungai Geting agar tidak turun ke laut menangkap ikan semasa meninjau sempadan Malaysia Thailand di Sungai Golok dan Sungai Geting. FOTO BERNAMA
RUDZUAN (kanan) memberi peringatan kepada nelayan di Sungai Geting agar tidak turun ke laut menangkap ikan semasa meninjau sempadan Malaysia Thailand di Sungai Golok dan Sungai Geting. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, di sini memberi amaran kepada penyeludup agar tidak melakukan sebarang aktiviti penyeludupan di sepanjang Sungai Golok ketika musim banjir kerana pasukan itu sentiasa memperketat kawalan bagi membanteras aktiviti haram itu.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, tanggungjawab mengawal sempadan negara akan terus dipergiatkan, walaupun pada masa sama anggota pasukan itu turut menguruskan bantuan tertentu kepada mangsa banjir di Kelantan.

"Saya beri amaran kepada penyeludup, jangan berfikir pasukan ini tidak menumpukan kawalan sempadan ketika banjir, sebaliknya anggota bersiap sedia menangani keadaan itu.

"Pasukan ini tidak leka sama sekali walaupun pada masa sama anggota akan membuat tugasan membantu pasukan lain dalam usaha membantu penduduk ketika musim banjir ini," katanya kepada Bernama ketika melakukan pemantauan di sempadan negara di Sungai Golok, di sini, hari ini.

Mohd Rudzuan berkata, pasukan mengenal pasti 95 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang aktif dijadikan kawasan aktiviti penyeludupan di situ.

"Aktiviti penyeludupan biasanya membabitkan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, bahan bakar, tepung gandum, gula dan sebagainya.

"Dalam mengekang aktiviti ini, kita sentiasa mendapat bantuan pasukan keselamatan Thailand yang bekerjasama dengan kita," katanya.

Beliau berkata, pertemuan sentiasa diadakan antara kedua-dua pasukan negara berjiran itu terutama dalam usaha menangani pandemik Covid-19 melalui rentas sempadan.

Mengulas mengenai persiapan banjir, Mohd Rudzuan berkata, pasukan itu menyediakan tujuh bot dalam usaha membantu penduduk termasuk menguruskan pelbagai bantuan lain.

Katanya, 50 anggota dan pegawai bersiap sedia sejak 1 November lagi dan sentiasa memantau keadaan cuaca bagi menggerakkan jadual penugasan.

Selain itu, pasukan itu memberikan khidmat jurulatih kepada setiap ibu pejabat polis daerah dalam memastikan semua anggota polis mengetahui mengenai tugasan menyelamat dan membantu mangsa banjir.

Sementara itu, ketika rondaan hari ini, didapati keadaan Sungai Golok lengang tanpa deruan enjin bot penduduk kerana mematuhi arahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

Beberapa nelayan yang tidak turun ke laut akibat keadaan laut bergelora sejak seminggu lalu, turut kelihatan membaik pulih kapal dan pukat mereka.

Seorang nelayan Tarmizi Ramli, 38, berkata nelayan tradisional sepertinya sudah seminggu tidak turun ke laut dan inilah masanya untuk membaiki bot dan pukat.

"Alhamdulillah kami menerima Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan dan dapatlah menampung kehidupan ketika musim tengkujuh ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 2:46 PM