Siti Rohana Idris

Tumpat: Seramai 160 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di negeri Pantai Timur bersiap sedia menghadapi perubahan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku penghujung Oktober ini.

Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga, Superintendan Mohd Razlin Abdul Manaf berkata, pelbagai persediaan penugasan sudah diatur dan pihaknya bertanggungjawab mengendalikan latihan dalam perkhidmatan dan menyelenggara bot serta enjin sangkut.

"Latihan itu untuk meningkatkan kemahiran anggota semasa penugasan banjir di kawasan tanggungjawab masing-masing.

"Bahagian Kejuruteraan PPM Wilayah Tiga juga memainkan peranan dalam memastikan semua aset sentiasa berada pada tahap terbaik dan boleh diguna bila-bila masa," katanya.

Terdahulu, beliau diiringi Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad melakukan rondaan di Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor sehingga Kubang Pak Hitam, Pasir Mas, hari ini.

MOHD Razlin (tengah) diiringi Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad (kanan) memantau anggotanya membuat  persediaan penugasan mengendalikan latihan dalam perkhidmatan dan menyelenggara bot serta enjin sangkut menghadapi perubahan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku penghujung Oktober ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Razlin (tengah) diiringi Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad (kanan) memantau anggotanya membuat persediaan penugasan mengendalikan latihan dalam perkhidmatan dan menyelenggara bot serta enjin sangkut menghadapi perubahan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku penghujung Oktober ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Rondaan itu turut disertai Pasukan Polis Marin Diraja Thailand dan Royal Thai Border Patrol.

Mohd Razlin berkata, pihaknya juga sudah membentuk beberapa pasukan penyelamat yang akan bekerjasama dengan agensi penyelamat lain bagi memindahkan mangsa banjir yang terjejas ke pusat pemindahan sementara yang ditetapkan.

Katanya, PPM lebih menumpukan lokasi 'hotspot' iaitu Sungai Golok dan Tok Bali di Kelantan, sekitar Kuala Terengganu (Terengganu) dan Sungai Lembing (Pahang).

Sementara itu, Mohd Razlin berkata, pihaknya mengaturgerak Unit Risik Marin (URM) untuk membuat risikan keselamatan dan pengumpulan maklumat bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

"Kerjasama dengan pasukan penguatkuasa Thailand juga sangat baik yang mana kita mengadakan rondaan bersama secara berterusan setiap bulan selain bertukar maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 2:36 PM