RINA (kiri) menyerahkan replika cek kepada Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Badrul Huzaini Mohd Yusof (kanan) sambil diperhatikan Shahaniza (tengah). FOTO Farizul Hafiz Awang
RINA (kiri) menyerahkan replika cek kepada Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Badrul Huzaini Mohd Yusof (kanan) sambil diperhatikan Shahaniza (tengah). FOTO Farizul Hafiz Awang
Shahrinnahar Latib


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelaras sumbangan yang diterima daripada 2,760 badan bukan kerajaan (NGO) dan badan lain dengan nilai keseluruhan RM20.96 juta.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sumbangan itu disalurkan kepada 401,130 penerima yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di seluruh negara.

"Jumlah itu adalah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 18 Mac hingga 21 Mei lalu.

"Peranan yang dilaksanakan oleh JKM ini adalah serentak dengan tanggungjawab menyelaraskan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar melalui peruntukan kerajaan dan Tabung Covid-19.

"Bantuan NGO dan badan lain adalah tambahan kepada bantuan bakul makanan yang disalurkan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum itu, beliau hadir menyerahkan Bantuan Geran JKM 2020 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman di Kempadang di Kuantan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan penerima manfaat sumbangan yang diselaraskan oleh JKM melalui bantuan kerajaan dan sumbangan NGO dianggarkan 2.079 juta isi rumah.

"Kementerian amat menghargai kerjasama dan sumbangan NGO serta badan lain bagi membantu kerajaan dalam meringankan beban golongan sasar yang terkesan sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

"Diharapkan agar pihak NGO dan badan-badan lain ini akan terus bersama-sama kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Katanya, sumbangan itu meliputi pelbagai bentuk bantuan seperti wang tunai dan barangan makanan basah serta kering.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 3:05 PM