Muhyiddin (dua dari kiri) merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 JKM sambil disaksikan oleh Rina  (kiri) di Putrajaya hari ini. Foto Eizairi Shamsudin
Muhyiddin (dua dari kiri) merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 JKM sambil disaksikan oleh Rina (kiri) di Putrajaya hari ini. Foto Eizairi Shamsudin
BERNAMA

Putrajaya: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta warga kerjanya terus diperkasa melalui pelaksanaan beberapa inisiatif bagi memastikan penyampaian perkhidmatan bantuan kebajikan yang cekap dan mesra rakyat.

Perdana Menteri berkata, antara inisiatif itu termasuklah penstrukturan semula JKM yang meliputi usaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan bantuan, penyelarasan perjawatan serta menambah baik pengagihan tugas.

Selain itu, katanya, pemberian elaun khas kepada warga kerja JKM yang berkhidmat di kawasan berisiko seperti institusi warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Inisiatif lain termasuklah penggubalan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial bagi memastikan kebajikan para pekerja sosial terbela termasuk Pegawai Kebajikan Masyarakat supaya mereka diiktiraf mengikut kepakaran masing-masing, katanya.

Berucap di Majlis Apresiasi Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-75 JKM, di sini malam ini, Muhyiddin berkata, JKM merupakan antara tonggak utama dalam mencorakkan hala tuju pembangunan sosial di negara.

"Warga JKM sudah menzahirkan komitmen yang tinggi dalam menggalas tanggungjawab masing-masing demi menjaga kebajikan segenap lapisan masyarakat," katanya.

Muhyiddin berkata, sewaktu negara dilanda wabak Covid-19, JKM memainkan peranan yang penting terutamanya dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kebajikan sosial dalam membantu usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak itu walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kekangan.

Ia termasuklah pengedaran bakul makanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain JKM turut terlibat secara langsung dalam pengurusan aspek kebajikan di pusat-pusat kuarantin COVID-19 di seluruh negara.

Sebagai inisiatif tambahan untuk membantu dan menyantuni rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut giat menjalankan Program Kembara Prihatin Negara sejak November tahun lalu.

Melalui program itu, katanya, pelbagai bentuk bantuan diberikan termasuk keperluan harian dan sokongan sosial sehinggalah ke peringkat akar umbi bagi meringankan beban rakyat.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan menerusi Program Kembara Prihatin Negara adalah hasil sokongan padu dan sumbangan daripada sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan penyertaan masyarakat setempat.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah Ikon Hero Jaket Kebangsaan kepada dua pegawai JKM iaitu Tuah Sajali dan Dayang Rugayah Awang Besar atas jasa dan sumbangan yang dicurahkan khususnya semasa pandemik Covid-19.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dan timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 11:26 PM