FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nazri Abu Bakar


JABATAN Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka merekodkan 3,726 pekerja tempatan dan 364 pekerja asing terkesan akibat penularan Covid-19 bermula dari tempoh 18 Mac sehingga 10 Mei lalu.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah berkenaan, 573 pekerja tempatan itu dalam kategori pemberhentian tetap dan 26 pula terbabit dalam pemberhentian sukarela.

"Selain itu, 228 pekerja tempatan terbabit dalam pemberhentian sementara dan selebihnya seramai 2,899 dalam kategori pengurangan gaji.

"Kerajaan Negeri amat mengambil berat dan prihatin mengenai isu berkenaan dan menyediakan borang soal selidik bertujuan mengumpul maklumat individu hilang pekerjaan atau sumber pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya di Alor Gajah, hari ini.

Sulaiman berkata, borang soal selidik terbabit membolehkan kerajaan negeri mendapatkan maklumat tepat individu yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, sekali gus merancang program pembangunan modal insan bagi meningkatkan mutu tenaga kerja dan pelaksanaan program penempatan semula pekerja.

Beliau berkata, borang pengumpulan maklumat akan dimuat naik ke Facebook (FB) rasmi Kerajaan Negeri mulai 10 pagi esok untuk tempoh dua minggu iaitu sehingga 3 Jun 2020.

"Kerajaan Negeri memohon hebahan dapat dilakukan semua agensi kerajaan termasuk Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) bagi membolehkan informasi terbabit sampai kepada pihak terkesan.

"Saya berharap rakyat negeri ini yang terkesan semasa PKP atau PKPB dapat mengisi borang soal selidik ini bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengumpul maklumat dan seterusnya merangka pelan pemulihan dalam membendung masalah dihadapi rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 2:41 PM