TINJAUAN di pasar basar mendapati orang ramai merungut apabila harga ayam standard di Johor naik mendadak kepada RM8 berbanding hanya antara RM6.50 hingga RM7 sekilogram kelmarin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TINJAUAN di pasar basar mendapati orang ramai merungut apabila harga ayam standard di Johor naik mendadak kepada RM8 berbanding hanya antara RM6.50 hingga RM7 sekilogram kelmarin. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Johor diminta menyiasat rungutan orang ramai mengenai kenaikan mendadak harga ayam di negeri ini sejak semalam.

Harga ayam standard di negeri ini dilaporkan meningkat ketara kepada antara RM8 hingga RM8.50 sekilogram berbanding hanya RM6.50 hingga RM7, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Chong Fat Full, berkata, kenaikan harga ayam standard tidak seharusnya berlaku berikutan pengeluaran ayam di negeri ini tinggi dengan permintaan pada kadar antara rendah hingga sederhana.

"Pengguna yang membeli ayam dengan harga lebih tinggi diminta menyalurkan aduan mereka di saluran rasmi KPDNHEP termasuk melalui WhatsApp, emel atau telefon bagi siasatan dijalankan segera.

"Kita mahu tahu di rangkaian mana yang menyebabkan harga ayam naik mendadak sehari dua ini bagi membolehkan masalah ini diselesaikan dan tindakan sewajarnya diambil," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pasar basah di bandar raya ini termasuk di Tampoi mendapati harga ayam standard dijual hingga RM8 sekilogram sehingga mendapat rungutan pengguna.

Pekerja swasta, Shahrizal Mochamad, 31, terkejut apabila mendapati harga ayam naik kepada RM8 sekilogram.

"Ahad lalu saya beli dua ekor ayam dengan harga RM6.50 sekilogram namun hari ini harganya tiba-tiba naik mendadak.

"Peniaga mendakwa mereka menerima ayam dengan harga tinggi berbanding sebelum ini sehingga terpaksa menaikkan harga," katanya.

Penduduk Kampung Sri Maju, Bakri Jusoh, 60, pula berkata dia terpaksa membatalkan hasrat membeli ayam berikutan harganya yang tinggi.

"Ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harga ayam hanya RM5.50 sekilogram dan penjual juga mendakwa kerugian akibat tidak banyak ternakan dijual berikutan tidak ramai ke pasar.

"Namun ketika orang ramai mula kembali berbelanja, harga naik tiba-tiba. Saya lebih rela beli ikan kerana harganya lebih stabil dan tidak meningkat berbanding ayam," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati harga bawang besar jatuh merudum kepada RM4 sekilogram berbanding antara RM10 hingga RM12 sekilogram bulan lalu.

Peniaga barangan runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Albert berkata, kejatuhan harga bawang besar yang ketara berikutan lebih banyak produk berkenaan yang diimport dan dibawa masuk ke negara ini selepas sektor perniagaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 6:36 PM