GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
Omar Ahmad


KEMELUT harga ayam melambung menjelang musim perayaan perlu diselesaikan dengan bijak supaya tidak berulang.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, harga ayam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu pada harga RM4 sekilogram.

Katanya, namun tiba-tiba harga naik sekali ganda sejak seminggu lalu ketika umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Dalam keadaan ada rakyat dibebani dengan masalah kehilangan kerja, tidak mempunyai gaji dan perlu berjimat kesan PKP, ada pihak yang seperti menangguk di air keruh.

"Setiap kali musim perayaan pasti berlaku kenaikan harga barangan. Perkara ini berulang saban tahun dan sepatutnya sudah ada cara yang bijak menanganinya di semua peringkat," katanya.

Menurut Micheal, penguatkuasaan secara agresif juga perlu dilakukan bagi membendung kenaikan harga barang ketika musim perayaan.

"Penguatkuasaan perlu dipergiatkan dan masyarakat juga disarankan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati terdapat kenaikan mendadak harga barang," katanya.

Harga ayam standard di Johor sebelum ini dilaporkan meningkat ketara kepada antara RM8 hingga RM8.50 sekilogram berbanding hanya RM6.50 hingga RM7 sebelumnya.

Alasan peniaga menaikkan harga ialah kerana mereka terpaksa membeli dari pembekal dengan harga yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 12:05 PM