Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 21,466 orang sudah menjalani ujian Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) setakat jam 12 tengah hari ini dengan 638 kes didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah positif Covid-19 itu, 388 kes atau 61 peratus adalah bukan warganegara dan baki 250 kes atau 39 peratus pula adalah warganegara.

Menurutnya, PKPD yang mempunyai kes baharu pada hari ini adalah Menara City One Plaza satu kes baharu, menjadikan jumlah kes 52 kes, Malayan Mansion lima kes baharu, menjadikan jumlah kes sebanyak 12 kes dan Pusat Bandar Utara serta Sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur sembilan kes baharu, menjadikan jumlah kes sebanyak 55 kes.

"Bagi aktiviti tertumpu di madrasah atau sekolah tahfiz pula, sehingga semalam, didapati 6,229 orang pelajar, guru dan kakitangan sudah menjalani ujian Covid-19. di mana seramai 341 orang didapati positif Covid-19 atau 5.47 peratus.


"Di stesen kuarantin yang menempatkan pengembara warganegara yang balik dari luar negara, sehingga 5 petang kelmarin, didapati seramai 12,672 orang telah menjalani ujian Covid-19," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 139 orang didapati positif Covid-19 atau 1.1 peratus di mana daripada jumlah positif itu, negara yang dilawati adalah 99 kes melawat Indonesia, 14 kes melawat United Kingdom, 13 kes ke Singapura, lima kes melawat Turki, tiga kes melawat Belanda, dua kes melawat Amerika Syarikat, satu kes masing-masing melawat Thailand, Perancis dan Bangladesh.

"Ini menunjukkan bahawa aktiviti pendekatan tertumpu yang diambil kerajaan setakat ini menunjukkan hasil yang diharapkan.

"Ini diharap dapat mengekang penularan dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi ini," katanya.


Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menjangka lebih banyak kes positif akan dikenal pasti dalam masa terdekat ini memandangkan aktiviti pendekatan tertumpu ini masih diteruskan.

"KKM telah mempergiatkan aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi serta rawatan terutama kepada kumpulan sasar yang berisiko tinggi dengan pendekatan tertumpu.

"Ia dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan," katanya.

PETUGAS KKM memeriksa suhu badan kanak-kanak di penempatan warga asing di Jalan Indah 21 Selayang Baru ketika melakukan saringan Covid-19. FOTO Hairul Anuar Rahim
PETUGAS KKM memeriksa suhu badan kanak-kanak di penempatan warga asing di Jalan Indah 21 Selayang Baru ketika melakukan saringan Covid-19. FOTO Hairul Anuar Rahim

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 4:53 PM