Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

DUA 'mat rempit' yang menunggang motosikal dengan aksi berbahaya di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Kuala Lumpur ditahan polis malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 24 tahun itu ditahan ketika melakukan aksi 'wheelie' pada 11.30 malam.

"Kedua-dua pemuda yang juga penjual alat ganti dan pekerja bengkel itu melakukan aksi berkenaan ketika menunggang motosikal jenis Honda EX5.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dan memiliki ganja di Jalan Tun Sambanthann, Brickfields semalam.

Menurut Zulkefly, sepasukan polis yang melakukan rondaan Op Covid-19 di kawasan berkenaan menahan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 38 tahun itu selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan pada 10.30 malam.

"Pemeriksaan yang dilakukan terhadap lelaki itu mendapati dia memandu di bawah pengaruh alkohol dan turut dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee untuk menjalani ujian pernafasan.

"Pemeriksaan lanjut badan terhadap suspek menemui bungkusan dadah dipercayai ganja seberat 21 gram di kocek kanan seluarnya," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 11:03 AM