Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Kamariah Samir dan Ayshah Mohd Jamaludin


Seremban: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di daerah ini dengan menahan tiga lelaki serta merampas dua kilogram ganja di Jalan Tampin-Seremban di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, suspek berusia antara 25 hingga 32 tahun ditahan dan ganja berkenaan ditemui di bawah tempat duduk penumpang depan kereta.

Katanya, kereta yang dinaiki suspek itu ditahan untuk pemeriksaan di satu sekatan jalan raya pada 12.45 tengah malam, selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan menemui dadah yang dibungkus dengan plastik itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.

Thiew berkata, semua suspek direman bermula semalam hingga 22 Februari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita percaya dadah itu dibawa dari selatan untuk dipasarkan di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 2:11 PM
BAHAN yang dirampas polis. FOTO Adzlan Sidek
BAHAN yang dirampas polis. FOTO Adzlan Sidek