HEROIN dan pil kuda yang dirampas di Kampung Jerat Cina, Kota Bharu. FOTO ihsan PDRM
HEROIN dan pil kuda yang dirampas di Kampung Jerat Cina, Kota Bharu. FOTO ihsan PDRM
Rosliza Mohamed


DUA lelaki berusia 39 tahun ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad kerana disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah di Kota Bharu.

Kedua-duanya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menyerbu sebuah rumah di Kampung Jerat Cina, Pantai Cahaya Bulan (PCB), kira-kira 1.30 pagi, Ahad lalu.

"Kedua-dua suspek berusia 39 tahun ditemui di bawah rumah berkenaan dan pemeriksaan tubuh seorang daripadanya menemui beg silang berwarna hitam yang mengandungi kotak besi.

"Dalam kotak itu mengandungi satu botol cerah berpenutup berisi heroin dan satu tiub straw berangkai disyaki empat biji pil kuda.

"Pemeriksaan ke atas seorang lagi suspek pula menemui satu tiub straw mengandungi serbuk berwarna putih disyaki heroin dalam poket seluarnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang menganggur itu disyaki sebulan menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Ismail berkata, ujian saringan kedua-duanya juga positif morfin dan dipercayai memperoleh bekalan dadah dari pihak tertentu.

"Dadah akan diperoleh untuk tempoh seminggu atau dua minggu sekali dan kawasan pengedaran pula sekitar kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 8:34 PM