FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas dua ketulan mampat dadah jenis ganja di hentian bas di Jalan Syed Putra di sini, semalam.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan anggota dari Balai Polis Brickfields ketika melakukan Operasi Cegah Jenayah jam 8.50 malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, penahanan suspek itu membawa kepada serbuan di sebuah kondominium di Taman Desa di sini pada hari sama.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui satu peket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja anggaran berat tiga gram dan sebiji pil disyaki erimin 5 seberat 0.3 gram.

"Jumlah keseluruhan dadah dirampas adalah RM5,215 dan turut dirampas wang tunai RM270. Dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 400 penagih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Anuar berkata, ujian saringan awal urin mendapati suspek positif dadah jenis benzo dan suspek juga mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Malah, katanya, suspek dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah di daerah ini sejak dua bulan lalu.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti ahli sindiket lain yang terbabit dan sumber bekalan dadah diperolehi," katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 3:03 PM