ZOO Melaka sebagai pusat konservasi dan hub pendidikan haiwan.
ZOO Melaka sebagai pusat konservasi dan hub pendidikan haiwan.
Nurul Husna Mahmud


Zoo Melaka perlu menanggung kos operasi kira-kira RM1 juta sebulan bagi membolehkan kebajikan lebih 550 ekor haiwan dalam jagaan pusat haiwan itu dapat memainkan peranan selain memberikan pelindungan terutama bagi spesies terancam.

Jumlah itu tidak sepadan dengan keuntungan dijana dalam tempoh enam bulan ia sempat beroperasi sepanjang tempoh pandemik pada tahun 2020 sehinggalah kini yang mana negara dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tanpa kunjungan pelawat, Zoo Melaka yang juga sebagai tempat konservasi dan hub pembelajaran bagi generasi muda

turut terkesan dengan bebanan kos operasi yang ketika ini terpaksa ditanggung Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Menurut Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman, Zoo Melaka berperanan sebagai pusat konservasi dan pendidikan haiwan turut mendapat perhatian orang ramai apabila tidak dapat menjana pendapatan menerusi kutipan tiket kepada pengunjung dalam dalam tempoh pandemik.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) yang pertama lagi, nasib haiwan di Zoo Melaka mendapat perhatian orang ramai yang mahu membantu menyumbang wang tunai dan keperluan makanan haiwan.

ANTARA sumbangan diterima daripada agensi korporat.
ANTARA sumbangan diterima daripada agensi korporat.

"Justeru Zoo Melaka melancarkan satu inisiatif 'Animal Food Bank' sebagai satu bentuk saluran yang boleh digunakan pelbagai pihak bagi menyalurkan bantuan kepada haiwan kesayangan masing-masing.

"Ini dapat meringankan bebanan kos operasi yang perlu ditanggung sepenuhnya pihak Zoo Melaka yang juga di bawah pengurusan MPHTJ sepanjang ia tidak dapat menjana pendapatan menerusi jualan tiket dan program konservasi bersama masyarakat," katanya.

Tambah Shadan lagi, 30 peratus kos operasi zoo terbabit adalah kos penyediaan makanan dan diet sihat bagi 120 spesies yang terdapat dalam pusat konservasi terbabit.

"Sebulan untuk makanan haiwan sahaja, Zoo Melaka memerlukan 500 kilogram daging ayam atau daging merah. Kemudian 300 kilogram buah-buahan dan sayur-sayuran, belum lagi sumber makanan lain seperti dedak, bijiran dan sebagainya.

"Diharap dengan program ini orang ramai prihatin dengan keperluan haiwan. Penting juga untuk beri kesedaran kepada masyarakat mengenai sumbangan yang mereka boleh berikan dalam membantu pusat konservasi haiwan.

"Apatah lagi Zoo Melaka bukanlah pusat ditubuhkan untuk menjana keuntungan semata-mata sebaliknya penting dalam membantu usaha memulihara spesies terancam.

"Spesies hampir pupus seperti Harimau Malaya, tapir dan pelbagai lagi dapat diselamatkan menerusi perlaksanaan program kesedaran terutama pendidikan haiwan kepada pelbagai peringkat masyarakat," katanya.

RAKAMAN video dilakukan oleh pihak Zoo Melaka dalam mengekalkan interaksi komuniti bersama haiwan.
RAKAMAN video dilakukan oleh pihak Zoo Melaka dalam mengekalkan interaksi komuniti bersama haiwan.

Sejak program itu dilaksanakan, pihaknya sudah menerima sejumlah RM400 ribu sumbangan baik segi bantuan wang ringgit dan juga bentuk sumbangan makanan daripada pelbagai syarikat korporat, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

Kata Shadan lagi, meskipun kekangan orang ramai tidak dapat berkunjung ke Zoo Melaka, namun mereka masih boleh berbuat demikian menerusi perkongsian video di laman sosial seperti Facebook (FB) dan Instagram zoo terbabit.

"Ramai yang mengeluh tidak dapat menyaksikan haiwan apabila zoo dan pusat haiwan terpaksa ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi, kami lancarkan program Zoo to You menerusi 'Live' di FB dan juga tayangan video mengenai kehidupan haiwan dalam Zoo Melaka menerusi akaun media sosial kami.

"Orang ramai terutama kanak-kanak masih boleh melihat rutin haiwan seperti gajah dan haiwan lain menerusi perkongsian video berkenaan.

"Ini antara ikhtiar kami memastikan interaksi pihak zoo bersama komuniti terus berlangsung meskipun aktiviti melawat zoo tidak dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 6:19 AM