ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) memantau harga sayuran dalam lawatan kerjanya. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) memantau harga sayuran dalam lawatan kerjanya. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetap melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri tahun ini biarpun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia akan diumumkan dalam masa terdekat dan pihaknya juga sudah mengenal pasti barangan yang akan ditetapkan di bawah skim berkenaan.

"Kita sudah bersedia untuk melihat apa harga maksimum yang perlu diletakkan nanti. Kita mahu jaga kepentingan orang ramai dan harus lihat kepentingan peniaga sebab itu kita cari harga yang patut untuk semua pihak.

"Kita sudah melihat (harga) 11 barangan seperti ayam, telur, daging selalu naik (pada musim perayaan, bagaimanapun harga maksimum semua barangan itu) akan diumumkan nanti. Kita yakin harga maksimum (ditetapkan) boleh diterima semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Pasaraya TF Value Mart Seri Manjung, Manjung, hari ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga kini, sebanyak 26 kes penyeludupan minyak masak, petrol dan diesel direkodkan di kawasan sempadan di Kelantan.

Katanya, penyeludupan tiga jenis minyak berkenaan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM157,000.

"Selain itu, lebih 47,000 pemeriksaan dijalankan membabitkan tiga kategori iaitu peruncit, pemborong dan pengilang di seluruh negara bagi memantau harga dan juga bekalan barangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 8:32 PM