Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah awal melakukan pemeriksaan dan penelitian ke atas operasi kilang pengeluaran ayam di Serkam, Melaka selepas sebahagian besar pekerja kilang itu disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu diambil bagi menentukan strategi dan tindakan susulan bagi memastikan keberadaan bekalan ayam tidak terjejas di kawasan edaran.

"Kami ambil maklum mengenai penutupan kilang pemprosesan ayam itu bermula 2 Februari lalu disebabkan sebahagian besar pekerjanya disahkan positif Covid-19.

"Kilang itu adalah salah satu kilang pemprosesan ayam utama yang membekalkan ayam ke seluruh Semenanjung. Arahan penutupan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah penting untuk mengawal kluster industri Serkam supaya tidak terus menular," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di NSK Trade City Jalan Kuchai Lama, di sini, sempena perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021, hari ini.

Alaxander berkata, jumlah pengeluaran sebelum penutupan operasi kilang itu adalah sebanyak 150,000 ekor ayam pedaging sehari.

"Selepas arahan penutupan kilang oleh KKM pada 2 Februari lalu, pengeluaran ayam pedaging tidak dapat diteruskan untuk suatu tempoh sementara sahaja.

"Bagi mengatasi risiko gangguan bekalan ayam pedaging, sebuah kilang pengeluar ayam di Pedas, Negeri Sembilan diarahkan untuk membantu memproses pengeluaran ayam pedaging bagi tujuan kelangsungan pengedaran bekalan," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang aduan diterima oleh KPDNHEP di seluruh negara berkaitan kekurangan bekalan ayam di pasaran.

"Pemeriksaan harian dipergiatkan oleh Penguat Kuasa KPDNHEP untuk memantau keberadaan bekalan barangan pengguna, termasuk ayam daging dan telur sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehingga 6 Februari lalu, sebanyak 248,749 premis diperiksa termasuk 11 jenis barangan keperluan utama pengguna iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, sayuran, telur, bawang, ayam dan pelitup muka. Keberadaan bekalan barangan itu didapati pada tahap stabil dan mencukupi," katanya.

Beliau menegaskan situasi bekalan barangan keperluan, khususnya ayam daging adalah terkawal sehingga hari ini.

"Penutupan salah satu kilang pengeluar ayam utama itu disebabkan pematuhan kuarantin untuk kepentingan kawalan penularan Covid-19 dan ia tidak menjejaskan keberadaan bekalan ayam di pasaran.

"Pengeluaran bekalan ayam daging tetap stabil dengan pengeluaran oleh kilang-kilang pengeluar ayam lain masih beroperasi seperti biasa.

"Bekalan ayam pedaging dan telur masih boleh diedarkan kepada kira-kira 500 pemborong. Produktiviti pengeluaran buat masa kini adalah stabil dan memenuhi keperluan pasaran," katanya.

Katanya, KPDNHEP berterusan mengadakan libat urus dengan pihak industri ayam pedaging dan penelur bagi menyelia operasi pengeluaran untuk menjaga kestabilan bekalan ayam dan telur dari semasa ke semasa.

"Pihak industri diingatkan bahawa pematuhan SOP perlu dilaksanakan sepenuhnya apabila beroperasi. Pengusaha premis perniagaan bertanggungjawab menyaring kesihatan pekerja dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa tentang jangkitan Covid-19 yang berlaku dalam kalangan kakitangan.

"KPDNHEP boleh mengenakan tindakan kompaun dan menutup premis sekiranya berlaku ketidakpatuhan SOP PKP oleh pemilik premis perniagaan.

"Kami mengingatkan pengeluar, pembekal serta peruncit supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam dalam situasi pandemik dan dan tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seramai 604 pekerja ladang dan kilang memproses ayam di Serkam, Melaka, disahkan positif Covid-19 sejak saringan dilakukan pada Isnin lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    DATUK Seri Alexander Nanta Linggi (tengah), meninjau barang harga kawalan pada lawatan sempena pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan tahun baru cina 2021 di NSK Trade City Kuchai Lama.  FOTO Saifullizan Tamadi
    DATUK Seri Alexander Nanta Linggi (tengah), meninjau barang harga kawalan pada lawatan sempena pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan tahun baru cina 2021 di NSK Trade City Kuchai Lama. FOTO Saifullizan Tamadi

  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 8:08 PM