PENIAGA, Muhammad Faizul Radzli, 34, menyusun bekalan ayam segar yang dijual di Pasar Borong Selangor pada minggu akhir  Ramadan  dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Hazreen Mohamad
PENIAGA, Muhammad Faizul Radzli, 34, menyusun bekalan ayam segar yang dijual di Pasar Borong Selangor pada minggu akhir Ramadan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Hazreen Mohamad
Noor Atiqah Sulaiman


SKIM Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi tiga perayaan utama di negara ini akan dilaksanakan selama 15 hari bermula esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sudah mengenalpasti 11 barangan untuk ditentukan harga siling antaranya ayam, telur ayam, daging lembu tempatan dan import serta kelapa.

Katanya, semua harga barangan berkenaan kembali kepada paras normal berbanding beberapa tahun lalu walaupun negara kini sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Contohnya ayam standard, harga runcit yang ditetapkan ialah RM7.50 bagi sekilogram dan ia adalah kenaikan normal selepas PKP dilaksanakan. Jangan bandingkan harga ayam ketika PKP dengan harga kini kerana memang ada nampak sedikit kenaikan.

"PKP itu ialah senario luar biasa yang terjadi di negara ini, bandingkan harga ayam tahun sebelum ini dan harga yang ditetapkan adalah di paras normal. Ini kerana ketika PKP harga ayam turun secara mendadak kerana permintaan berkurangan, kedai dan restoran tidak dibuka dan ia menjadi salah satu penyebab harga turun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan harga maksimum barangan terkawal SHMMP sempena musim perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak.

Alexander berkata, SHMMP bagi Aidilfitri akan bermula esok hingga 3 Jun, manakala bagi Perayaan Kaamatan dan Hari Gawai Dayak pula akan dilaksanakan dari 28 Mei hingga 3 Jun depan.

Bagi skim Aidilfitri, 11 barangan berkenaan ialah ayam hidup yang dijual pada harga RM6.20 sekilogram, ayam standard (RM7.50), ayam super (RM8.40), telur ayam gred A (40 sen), telur ayam gred B (39 sen) dan telur ayam gred C (38 sen).

Sementara itu bagi daging lembu tempatan pula harga yang ditetapkan ialah RM34 sekilogram, daging kerbau yang diimport dari India RM20 sekilogram, kelapa biji pula dengan harga borong RM1.90 dan kelapa parut sekilogram dijual dengn harga runcit RM7.20.

Untuk Pesta Kaamatan 11 barangan yang disenaraikan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, kepak ayam, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging kerbau import dari India, khinzir hidup (dikawal di peringkat ladang) daging khizir bahagian perut dan daging khinzir manakala untuk Hari Gawai Dayak pula ada penambahan satu barangan iaitu ayam tua hidup.

Alexander berkata, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga, tindakan denda maksimum akan diambil kerana perbuatan itu melanggar peraturan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda oleh mahkamah hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi pihak syarikat pula boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:07 PM