GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 28,992 individu ditahan di seluruh negara kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 15,792 individu atau 54.4 peratus sudah didakwa di mahkamah.

"Bagi PKP fasa pertama sehingga fasa ketiga, polis menahan 27,061 individu dengan 13,980 daripadanya dituduh di mahkamah.

"Sementara itu, bagi tempoh PKP fasa keempat yang bermula 29 April hingga 2 Mei, seramai 1,987 individu ditahan dengan 1,812 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.

"Proses pendakwaan akan diteruskan selepas kertas siasatan dilengkapkan," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok, pihaknya menjangkakan akan berlaku kesesakan di beberapa lokasi tumpuan seperti pusat beli-belah dan kawasan rekreasi.

"Kami (polis) sudah bersedia menghadapi kemungkinan itu dan akan melakukan pemantauan di lokasi tumpuan.

"Malah, semua ketua polis daerah juga sudah dimaklumkan supaya bersedia menghadapi perkara berkenaan," katanya.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan melaksanakan PKPB dengan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai esok.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 6:01 PM