GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias
GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias
Muhaamad Hafis Nawawi


SEKATAN jalan raya tetap diadakan di beberapa lokasi strategik bagi mengawal pergerakan termasuk jika ada cubaan individu melakukan perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, walaupun polis kini menumpu kepada usaha penguatkuasaan pematuhan penjarakan sosial selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun sekatan jalan raya tidak ditutup semuanya.

Menurutnya, masih ada sekatan jalan raya di beberapa lokasi strategik di seluruh negara bertujuan untuk kawalan.

"Perlu diingatkan polis tetap akan mengambil tindakan tegas sama seperti sebelum ini mengikut peruntukan undang-undang jika ada yang melanggar arahan termasuk cubaan merentas negeri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan peraturan 10 kilometer (km) radius perjalanan tidak dilaksanakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarat itu (10km) sudah tidak ada, tetapi rentas negeri masih dalam senarai dilarang.

Rentas negeri hanya dibenarkan pada empat hari yang diberikan pengecualian bagi membolehkan mereka terkandas di kampung dapat pulang semula ke tempat kerja dan kediaman masing-masing di bandar iaitu pada 7 hingga 10 Mei ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 4:17 PM