Amir Abd Hamid


KEBENARAN perjalanan rentas negeri bermula tengah malam tadi menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ternyata menggembirakan perantau yang sekian lama memendam rasa untuk pulang ke kampung masing-masing.

Tinjauan Harian Metro di sekatan jalan raya (SJR) sebelum detik 12 tengah malam di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur mendapati kenderaan mula keluar dari ibu negara selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan.

Ia menandakan berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sejak 4 Mei dan ditukar kepada PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos depan.

Sebelum ini, sekatan rentas negeri bermula sejak 18 Mac lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk mengawal penularan virus pandemik Covid-19.

Bermakna, rakyat Malaysia sudah menahan diri selama 85 hari daripada melakukan perjalanan rentas negeri khususnya bertujuan balik kampung menemui keluarga tersayang.

Ini termasuk sepanjang Ramadan baru-baru ini serta sewaktu perayaan Hari Raya Aidilfitri apabila tarikh 1 Syawal jatuh pada 24 Mei lalu.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Azman Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menjangkakan jumlah trafik harian melonjak sehingga 15 peratus mulai esok, susulan keputusan kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi dan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh PKPP.

Unjuran itu, katanya, berdasarkan catatan jumlah trafik harian sejak 4 Mei sehingga minggu terakhir Ramadan, yang menjangkau lebih sejuta kenderaan pada hari bekerja biasa dan meningkat dengan stabil ketika negara masih dalam PKPB.

ANGGOTA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengangkat kon berikutan tamat SJR ketika tinjauan hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO AIZUDDIN SAAD
ANGGOTA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengangkat kon berikutan tamat SJR ketika tinjauan hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO AIZUDDIN SAAD

"Berdasarkan kenaikan stabil sejak 1 Jun, PLUS menjangkakan jumlah trafik melonjak antara 10 hingga 15 peratus setiap hari, bermula pada minggu pertama PKPP pada 12, 13, dan 14 Jun ini.

"PLUS yakin berupaya mengendalikan jumlah trafik sepanjang tempoh PKPP.

"Di bawah PKPP, kebanyakan gerai makanan (termasuk tempat makan) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dibuka dan pelanggan berpeluang untuk menjamu selera di R&R, sambil mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 12:13 AM