Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Mohd Roji Kawi


SARAWAK belum membuat keputusan sama ada membenarkan dua orang dari satu keluarga untuk keluar bagi membeli barang keperluan lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau belum menerima butiran lanjut berhubung keputusan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan itu.

"Saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai perkara itu," katanya kepada media di Taman Desa Ilmu, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam pengumuman itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam PKP fasa keempat dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah berkata setakat ini Sarawak hanya membenarkan petani yang hendak ke kebun atau ke sawah padi keluar berdua.

"Selain petani yang hendak menuai padi, kita belum membuat keputusan lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 10:45 PM