GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


SARAWAK membenarkan kerja-kerja penting dan perlu dilakukan segera dalam sektor pembinaan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerja penting yang dimaksudkan ialah seperti penyelenggaraan jalan raya dan pembersihan tapak pembinaan.

Beliau berkata, penyelenggaraan dan pembersihan tapak pembinaan perlu dilakukan kerana dikhuatiri membahayakan dan mengancam keselamatan awam serta berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes jika terdapat takungan air.

“Bagaimanapun, kerja-kerja dalam sektor pembinaan itu hanya dibenarkan dilakukan dua kali seminggu dengan jumlah pekerja yang minimum,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri, di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, turut dibenarkan beroperasi ialah kedai elektronik dan servis komputer.

“Kebenaran itu hanya diberikan untuk urusan perkhidmatan dan pembaikan sahaja, bukannya urusan jualan peralatan elektronik dan komputer.

“Kedai terbabit dibenarkan dibuka pada hari Rabu dan Jumaat mulai jam 7 pagi hingga 7 malam,” katanya.

Uggah berkata, sektor lain yang dibenarkan beroperasi ialah perkhidmatan pembaikan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik yang sudah dibenarkan sebelum ini.

“Sektor perbankan dan kewangan, sektor pembuatan dan SME, sektor pertanian, kedai hardware, kedai mekanik dan alat ganti yang dibenarkan beroperasi sejak PKP fasa 1 dan fasa 2 juga dibenarkan untuk terus beroperasi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 11:11 PM