PETANI menghantar hasil pertanian mereka kepada wakil FAMA dan Pertubuhan Peladang Sarawak untuk dipasarkan. FOTO ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri
PETANI menghantar hasil pertanian mereka kepada wakil FAMA dan Pertubuhan Peladang Sarawak untuk dipasarkan. FOTO ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri
Mohd Roji Kawi


KESULITAN petani di Sarawak untuk memasarkan hasil pertanian mereka dalam tempoh penguat kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diatasi dengan bantuan Pertubuhan Peladang Sarawak dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Kedua-dua organisasi itu menerusi wakil masing-masing di peringkat daerah membantu mengumpulkan hasil pertanian dan kemudian membawanya ke pasar.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata, usaha bukan sahaja membantu petani malah memberi manfaat kepada pengguna kerana memastikan bekalan makanan berterusan.

Menurutnya, Pertubuhan Peladang Sarawak sudah membeli sejumlah 13,462 kilogram (kg) sayur dan 88,182 kg buah daripada petani sejak 6 hingga semalam.

“Ia dilakukan oleh 17 unit atau wakil wilayahnya di beberapa daerah dan mereka membayar RM36,984.63 untuk sayur-sayuran dan RM157,32.59 untuk buah-buahan.

“Fama juga menjalankan tanggungjawab mereka dalam tempoh yang sama, apabila membeli 1,425 kg sayur dengan harga RM3,342.30 dan sebanyak 19,979 kg buah-buahan dengan nilai RM40,884,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adar dan Pembangunan Wilayah berkata, kedua-dua organisasi itu akan terus membantu petani bagi mengurangkan beban yang ditanggung dalam tempoh PKP.

Menurutnya, petani yang menghadapi masalah untuk memasarkan hasil pertanian mereka supaya berhubung dengan pejabat Jabatan Pertanian atau Fama berhampiran.

Baru-baru ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta kepada Pertubuhan Peladang Sarawak untuk membeli hasil pertanian di seluruh negeri.

Selain itu, sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada pejabat Fama di seluruh negeri untuk membeli hasil petani dan untuk mengatur Pasar Tani.

Bagi membantu nelayan pula, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM600,000 kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membeli hasil tangkapan mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 4:51 PM