DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak hari ini. FOTO ihsan JABATAN PENERANGAN
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak hari ini. FOTO ihsan JABATAN PENERANGAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah yang mencatatkan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk seluruh negeri ini kekal dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 24 April ini.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, pihaknya bersetuju lima daerah iaitu Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong kekal di bawah PKPB selepas perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ketika ini, JPBN Sarawak hanya akan meneruskan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang berisiko tinggi.

"Berdasarkan pengalaman Sarawak, pelaksanaan PKPB dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan penguatkuasaan yang ketat adalah lebih berkesan dalam mengurangkan dan menghentikan penularan pendemik ini," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sarawak, hari ini.

Uggah berkata, antara kebimbangan utama JPBN Sarawak dalam pelaksanaan PKP adalah kemampuan dan keberkesanan penguatkuasaan di kawasan yang luas.

"Ia berdasarkan pengalaman PKP di Sibu baru-baru ini yang bermula 15 Februari hingga 1 Mac lalu.

"PKPD lebih mudah untuk diurus dan dikuatkuasakan terutama sekali di kawasan tumpuan. PKPD juga berjaya menurunkan kes positif dan membendung jangkitan di kawasan terbabit tanpa menjejaskan kegiatan ekonomi di kawasan lain," katanya.

Sarawak mencatatkan 512 kes positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 21,960.

Bintulu mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 120 diikuti Sibu dengan 99 kes, Subis (80), Kuching (56), Miri (31), Kapit (30), Meradong (29), Serian (22), Kanowit (10), Samarahan (sembilan), Sarikei (tujuh), Bukit Mabong (enam), Limbang (tiga), Kabong (dua) dan masing-masing satu di Asajaya, Bau, Belaga, Beluru, Julau, Saratok, Song dan Sri Aman.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 6:20 PM