Saipul Adli Mohamad dan Amir Abd Hamid dan Mahaizura Abd Malik


MALAYSIA berupaya meningkatkan kapasiti ujian Covid-19 kepada 20,000 sehari dengan penggunaan kit ujian pantas antigen dari Korea Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini Malaysia berjaya mencapai keupayaan 16,000 ujian saringan sehari.

"Sebagaimana saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kalau kita laksanakan 10 kes disaring (perlu) satu positif, tetapi kalau kita saring 10 kes dan kesan lebih daripada satu kes bermakna banyak lagi kes tidak dikesan, jadi kita kena kesan sekurang-kurangnya 10 peratus.

"Tetapi jika kita lihat daripada segi pengesanan, kita sudah melaksanakan saringan atau ujian sampel ke atas 132,361 individu dan yang positif 5,742 bersamaan 4.43 peratus, lebih baik daripada penanda aras ditetapkan WHO.

"Kalau lihat keupayaan menjalankan ujian makmal kita sudah mencapai 16,385 menggunakan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), jadi harap kalau minggu depan kita dapat 200,000 kit ujian antigen itu ia akan meningkatkan lagi ujian kita mungkin kepada 20,000 sehari," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.


Bagaimanapun, beliau berkata, tahap keupayaan ujian saringan di Malaysia memadai dengan populasi penduduk.

"Apa yang pasti dalam perbincangan kita dengan pasukan dari China sebagaimana saya sebutkan semalam di Guandong mereka ada 110 juta penduduk perlu disaring tetapi mereka cuma saring 30,000 sehari.

"Kita setakat ini sudah mencapai 16,000 jadi kalau kita lihat daripada segi pencapaian ujian saringan memang memadai setakat ini," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 6:38 PM