Nurul Husna Mohd Sharif bersama anak-anaknya sedang berbual dengan suami melalui panggilan video di Kampung Charok Semeliang, Siong. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Nurul Husna Mohd Sharif bersama anak-anaknya sedang berbual dengan suami melalui panggilan video di Kampung Charok Semeliang, Siong. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Safuri Kamarudin


PENGALAMAN berjauhan dengan insan tersayang ketika menyambut hari pertama Ramadan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara tidak langsung menimbulkan rasa janggal buat Nurul Husna Mohd Sharif, 37, dan tiga anaknya.

Bagaimanapun, peluang berkomunikasi secara panggilan video dengan suaminya Abd Razak Abd Jabar, 58, yang berada di Tanjung Malim, Perak sekurang-kurangnya mampu mengubat kerinduan mereka sejak lebih sebulan lalu.

Nurul Husna berkata, dia kini terkandas di rumah keluarganya di Kampung Charok Semeliang, Siong, Baling bersama tiga anaknya Muhammad Umar, 5, dan pasangan kembar Muhammad Yusuf serta Maryam, 4.

Menurutnya, mereka sebelum itu pulang ke kampung kerana cuti sekolah dan tidak dapat kembali ke Tanjung Malim berikutan penguat kuasaan PKP.

Katanya, suaminya yang juga pensyarah di sebuah universiti awam turut tidak dapat pulang ke Baling kerana sebelum itu dia perlu bertugas.

"Berikutan itu, saya akan berusaha membuat panggilan video kepada suami, setiap hari memandangkan permintaan anak- anak yang mahu bersemuka dengan bapa mereka.

"Malah, sambutan Ramadan kali ini juga berbeza kerana kami berjauhan dengan suami dan berfikir bagaimana dia bersahur dan berbuka puasa tanpa kami anak-beranak.

"Beza sungguhlah, anak-anak pun tanya mana abah, jadi puasa hari pertama ini memang suami tiada bersama dengan anak-anak tapi nak buat macam mana?" katanya.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City, Tanjung Malim itu, berkata perkara paling penting ketika ini adalah soal keselamatan dan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19.

"Saya memang sedih bila anak-anak tanya bila abah nak datang dan tunjuk macam-macam aksi mereka, tetapi virus ini berbahaya dan kita perlu jaga keselamatan diri termasuk anak-anak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 4:54 PM