Saad Bahadun terpaksa meneruskan pekerjaan sebagai pemanjat kelapa walaupun sudah berusia 69 tahun. - Foto Bernama
Saad Bahadun terpaksa meneruskan pekerjaan sebagai pemanjat kelapa walaupun sudah berusia 69 tahun. - Foto Bernama

Baling: Sudah berusia 69 tahun namun Saad Bahadun masih gagah mengambil upah memanjat pokok kelapa yang menjadi sumber pendapatannya selama hampir 40 tahun.

Berasal dari Kampung Carok Semeliang, Weng, di sini, Saad berbasikal sejauh 25 kilometer dari rumahnya ke pekan Baling bagi mencari pemilik pokok kelapa yang mahu menggunakan khidmatnya.

Saad mampu memanjat sekurang-kurangnya 10 pokok kelapa sehari dan bagi setiap 10 biji kelapa diturunkan, dia mendapat empat biji sebagai upah yang kemudian dijualnya kepada peniaga santan dengan harga RM1.50 sebiji.

"Saya terpaksa bertahan dengan kerja memanjat kelapa walaupun usia lanjut kerana hanya ini kerja yang saya boleh buat.

“Walaupun ramai menasihatkan supaya cari kerja lain, namun saya tiada pilihan kerana inilah sumber rezeki saya sekeluarga," katanya.

Banyak kenangan pahit dan manis yang dilaluinya sebagai pemanjat pokok kelapa, antaranya diserang tebuan yang bersarang di tandan kelapa serta pernah memacak Jalur Gemilang di sebatang pokok kelapa ketika ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52.

Saad perlu menanggung lima anak berusia antara tiga tahun hingga 20-an dengan pendapatan tidak menentu iaitu purata tidak lebih RM20 sehari.

Rumah beliau juga uzur dengan dinding dan bumbung bocor. Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian

019-4920006.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 11:00 PM