Nor Azhar Mohd Noor, 49  ketika berkunjung ke rumah pelakon veteran Allahyarham Abu Bakar Omar, 72 di Jalan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang baru-baru ini. Foto Ihsan Nor Azhar Mohd Nor
Nor Azhar Mohd Noor, 49 ketika berkunjung ke rumah pelakon veteran Allahyarham Abu Bakar Omar, 72 di Jalan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang baru-baru ini. Foto Ihsan Nor Azhar Mohd Nor
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: "Ketika arwah datang ke majlis kenduri kesyukuran di rumah saya pada Ahad lalu, dia tidak banyak bercakap seperti biasa, tak sangka hari ini arwah pergi selamanya," kata Nor Azhar Mohd Noor, 49.

Rakan baik kepada pelakon veteran Allahyarham Abu Bakar Omar, 72, berkata, dia sangat merasai kehilangan arwah berikutan sering memberi semangat dan motivasi untuk meneruskan perniagaannya dalam agro pelancongan.

Katanya, dia berkawan baik dengan Allahyarham sejak dua tahun lalu selepas arwah membina rumah baharu di Jalan Bukit Nyamuk, Mukim Kurung Hitam, Kuala Nerang di Padang Terap.

"Beliau banyak membantu penduduk sekitar dan mendirikan sebuah gelanggang silat bagi memastikan orang muda di kampung mempunyai aktiviti sihat.

"Namun, ia tidak bertahan lama kerana tidak ramai anak muda yang berminat untuk meneruskan sukan mempertahankan diri," katanya yang tinggal di Kampung Semeliang, Kuala Nerang dekat Padang Terap.

Nor Azhar berkata, arwah turut memintanya mendirikan sebuah kandang untuk cucunya menternak kambing.

Katanya, kandang kambing itu sudah siap tahun lalu, namun masih tidak beroperasi.

"Dia seorang yang mempunyai wawasan tinggi untuk memajukan anak-anak dan cucu, kandang kambing itu adalah untuk cucunya yang kini masih menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM)," katanya.

Selain itu, Nor Azhar berkata, dia sentiasa meminta nasihat daripada Allahyarham dan antara nasihat tidak mungkin dilupakan adalah tidak mudah menilai orang.

"Ini yang dia pernah sebut kepada saya, 'kita jangan menilai seseorang itu dari keburukannya sahaja kerana mungkin ada kebaikan yang dibuat dalam hidupnya yang Allah terima lalu Allah memuliakannya... kita tak tahu'.

"Nasihat ini sesuai dengan pemergian arwah pada hari Jumaat dan di bulan Ramadan, Allah memuliakan beliau," katanya sebak.

Berita berkaitan

Perginya pelakon legenda Abu Bakar Omar

'Sebelum ini arwah okay saja' - anak Allahyarham Abu Bakar Omar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 3:29 PM