GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohd Roji Kawi


RAKYAT negeri ini digesa terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan jumlah korban yang agak tinggi direkodkan di negeri ini, ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pematuhan PKP perlu bagi memudahkan usaha yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Untuk rekod, sehingga semalam, 16 korban Covid-19 direkodkan di Sarawak manakala 455 lagi disahkan positif.

“Kita harus terus patuh untuk memutuskan rantaian pandemik ini dengan memastikan tiada perhimpunan diadakan selagi keadaan tidak mengizinkan.

“Kita juga perlu terus mengamalkan disiplin diri daripada segi kesihatan agar jangkitan dapat dikekang.

“Bagi yang ada mempunyai kontak dengan mereka yang disaring positif, berhubunglah dengan pihak kesihatan terdekat untuk menjalani saringan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada kenyataan pertamanya selepas mendapat pelepasan daripada perintah kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Beliau menjalani kuarantin diri selama 14 hari di rumah sejak 9 April lalu dan berakhir semalam.

Menjelang Ramadan esok, Abang Johari turut mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam dan ucapan selamat hari Gawai buat masyarakat Dayak yang akan menyambut perayaan itu tidak lama lagi.

“Keadaan semasa tidak mengizinkan kita melakukan ibadat puasa atau menyambut perayaan Gawai seperti biasa.

“Saya mewakili kerajaan negeri Sarawak amat berharap anda semua tabah menghadapi segala kekangan sepanjang PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 1:46 PM