DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg dan isteri, Datin Patinggi Dayang Juma'ani Tuanku Bujang  mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada masyarakat Dayak. FOTO ihsan CMO
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg dan isteri, Datin Patinggi Dayang Juma'ani Tuanku Bujang mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada masyarakat Dayak. FOTO ihsan CMO
Mohd Roji Kawi


MEMATUHI Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tidak mengadakan kunjungan atau rumah terbuka di Hari Gawai adalah sumbangan besar rakyat dalam usaha bersama untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, rakyat perlu bersabar dan menyambut perayaan secara sederhana di kediaman masing-masing kerana Sarawak masih menguatkuasakan perintah larangan merentas daerah.

Beliau mengakui tiada yang lebih menyeronokkan apabila balik ke kampung atau rumah panjang pada musim perayaan, namun demi keselamatan semua selain memastikan kejayaan peperangan menentang pandemik Covid-19, rakyat harus akur dengan arahan dan bersedia menyambut perayaan dengan normal baharu.

"Saya juga percaya tidak kurang masyarakat Dayak yang berada di perantauan untuk mencari rezeki, khususnya dalam industri minyak dan gas yang juga tidak dapat kembali ke Sarawak.

"Tidak mengapa, yang penting saudara dan saudari serta kita semua selamat daripada Covid-19," katanya dalam perutusan sempena perayaan Hari Gawai yang disambut esok.

Abang Johari berkata, menjadi harapan keadaan kembali seperti biasa bagi membolehkan rakyat menyambut perayaan dalam suasana meriah.

"PKPB yang berakhir 9 Jun tidak membenarkan kita mengadakan perayaan Gawai seperti biasa apabila kita tidak dibenarkan mengadakan rumah terbuka, tidak boleh ngabang (kunjung mengunjung) dan hanya dibenarkan untuk berkumpul antara ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja.

"Kerajaan tidak mampu untuk memeriksa setiap rumah dan kampung untuk memastikan rakyat mematuhi arahan itu, tetapi saya percaya ketua kampung dan tuai rumah masing-masing akan sentiasa memastikan SOP (prosedur operasi standard) dan protokol perayaan yang ditetapkan dipatuhi," katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 memberi tamparan yang amat hebat kepada masyarakat serta kerajaan di seluruh dunia dan kerajaan Sarawak memahami keadaan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat khususnya masalah bekalan makanan dan pekerjaan.

"Saya tahu ramai yang bekerja dengan gaji harian yang terpaksa balik ke kampung atau rumah panjang kerana gaji tidak dibayar oleh majikan dalam tempoh PKP dan ada yang mungkin terus hilang pekerjaan.

"Justeru, sebanyak RM16.4 juta dibelanjakan oleh Kerajaan Sarawak untuk menyediakan bekalan makanan kepada 500,000 rakyat.

"Selain itu, kerajaan Sarawak juga menyediakan Bantuan Khas Sarawakku Sayang atau BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 yang meliputi pemberian tunai kepada golongan B40 termasuk golongan bujang berumur 21 tahun ke atas berpendapatan RM2,000 sebulan dan ke bawah.

"Menerusi BKSS 2.0, kita membenarkan penangguhan pembayaran pinjaman dan pinjaman mudah tanpa faedah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengecualian untuk bayaran lesen perniagaan serta diskaun sewa gerai untuk peniaga, bayaran insentif bulanan untuk anggota barisan hadapan yang terbabit menangani wabak Covid-19 dan bayaran insentif kepada golongan yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pelbagai jenis bantuan tunai dan bukan tunai itu dapat meringankan beban kepada rakyat kita yang telah hilang punca pendapatan selama PKP dan PKPB dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 3:48 PM