Mohd Roji Kawi


Kuching: Sambutan Hari Gawai yang dirayakan kaum Dayak diraikan masyarakat pelbagai kaum dengan suasana cukup meriah di seluruh negeri, hari ini.

Seperti perayaan lain, Hari Gawai dimeriahkan dengan tradisi kunjung-mengunjung atau 'ngabang' dalam bahasa Iban.

Selain itu, ramai pemimpin serta kenamaan kalangan masyarakat Dayak mengadakan rumah terbuka terutama di bandar utama.

Malah, suasana perayaan Hari Gawai tahun ini juga dianggap agak berlainan apabila jalan raya di kawasan luar bandar turut mengalami kesesakan berikutan perantau boleh memandu kenderaan untuk balik ke rumah panjang berbanding menaiki perahu sebelum ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengakui terkejut apabila dimaklumkan kesesakan jalan raya berlaku di Kapit serta beberapa kawasan luar bandar yang kini sudah diakses rangkaian jalan raya.

Menurutnya, keadaan itu tidak mungkin berlaku jika kawasan luar bandar masih terbiar tanpa menerima kemudahan infrastruktur khususnya jalan raya sempurna.

"Saya menerima laporan sejak semalam, berlaku kesesakan jalan raya di Kapit dan beberapa tempat lain yang kita sudah bangunkan rangkaian jalan raya.

"Ini membuktikan pembangunan khususnya kemudahan jalan raya yang baik semakin banyak dilaksanakan di luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai 2023 anjuran 17 pemimpin Dayak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri beliau Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang dan tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari berkata, selain jalan raya sempurna, beliau turut dimaklumkan kebanyakan rumah panjang di pedalaman menerima kemudahan elektrik 24 jam yang disediakan menerusi Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

"Dulu kebanyakan penduduk rumah panjang menggunakan generator yang dikuasakan diesel dan penggunaannya terhad untuk tempoh yang singkat.

"Namun kini, menerusi Skim SARES, penduduk menikmati kemudahan elektrik yang jauh lebih baik dan ini pasti menambahkan lagi kemeriahan sambutan Hari Gawai tahun ini," katanya.

Katanya, kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan kemudahan asas untuk memastikan tiada lagi perbezaan perayaan Hari Gawai di bandar dan luar bandar apabila semua kawasan menerima kemudahan setaraf.

"Ini kesan pembangunan yang holistik apabila kerajaan negeri menyalurkan 70 peratus peruntukan kepada bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 2:27 PM
TAN Sri Abang Johari Tun Openg, disambut oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah, serta kenamaan laii pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2023. FOTO Nadim Bokhari
TAN Sri Abang Johari Tun Openg, disambut oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah, serta kenamaan laii pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2023. FOTO Nadim Bokhari