INDIVIDU yang datang melakukan saringan komuniti Covid-19 dianjurkan SelCare Clinic. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
INDIVIDU yang datang melakukan saringan komuniti Covid-19 dianjurkan SelCare Clinic. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Md Fuzi Abd Lateh


SERAMAI 381 penduduk di Hulu Selangor mengikuti saringan komuniti Selangor bagi mengesan jangkitan wabak Covid-19 di Kelab Golf Bukit Beruntung, semalam.

Pengurus Operasi Selcare Clinic Sendirian Berhad, Mohd Noor Md Nasir berkata, program kerjasama pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor bermula 9 pagi hingga 5 petang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.

Katanya, kunjungan penduduk dari Pangsapuri Cempaka, Kenanga dan Dahlia dari Taman Bunga Raya yang diwartakan kawasan zon jingga wabak Covid-19 di Selangor amat bermakna bagi menyaring tahap kesihatan mereka.

“Kebanyakan individu yang datang adalah warga emas, penduduk yang dikesan ada simpton demam, batuk dan selsema. Ada lebih 10 individu penghantar makanan juga menyaring kesihatan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, saringan kesihatan secara percuma itu akan dapat diketahui keputusannya dalam tempoh 48 jam.

“Kami akan menghubungi individu yang didapati positif Covid-19 bagi mengambil tindakan susulan yang wajar seperti merujuk ke pejabat Klinik Kesihatan berdekatan dengan segera.

“Saringan dilakukan semalam secara pandu lalu dengan dibantu lima doktor dan 14 kakitangan sokongan tanpa berhenti apabila banyak kenderaan yang masuk perkarangan kawasan ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 11:22 AM